13 NOV: Pihak tertentu diingatkan supaya tidak meniup semangat perkauman dengan menuduh kerajaan memberi tekanan dengan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang menyusahkan ketika perayaan Deepavali.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP yang diperkenalkan adalah sama untuk semua perayaan demi menjaga nyawa rakyat.
“Semasa Hari Raya Puasa kita lihat masjid ditutup, langsung tidak dibuka. Pergerakan juga tak dibenarkan, jadi sama sahaja.” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau turut berpesan kepada semua penganut Hindu yang meraikan Deepavali esok agar mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum ini.
Ismail Sabri berharap tiada individu yang cuba balik kampung kerana pergerakan rentas negeri dan daerah masih tidak dibenarkan.
Sementara itu, beliau mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Kampung Haji Baki, Kuching ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu 24 November.
“Sehingga 12 November 2020, kesemua keputusan ujian saringan makmal telah diperolehi dan tiada lagi kes positif baru dikesan sejak tujuh hari lalu,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 6 Disember.
“Sehingga 12 November 2020, masih terdapat pertambahan 35 kes baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Labuan adalah sebanyak 1,135 kes,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN