14 NOV: Sebanyak 1,114 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 46,209 kes.
Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah sebanyak 12,131 kes.
Selain itu, dua kematian dilaporkan hari ini di Sabah melibatkan seorang wanita berusia 78 tahun yang menghidap penyakit osteoarthritis dan seorang lelaki berusia 51 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit buah pinggang kronik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah mencatatkan sebanyak 391 kes (35.1 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.
Beliau menambah, Negeri Sembilan pula melaporkan sebanyak 371 kes (33.3 peratus) daripada keseluruhan kes positif harian, yang sebahagian besarnya adalah daripada Kluster Cergas iaitu sebanyak 363 kes (97.8 peratus).
“Negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan sebanyak 217 kes positif pada hari ini. Daripada jumlah ini, sebanyak 145 kes adalah daripada kluster-kluster (66.8 peratus).
“Sebanyak 65 kes (5.8 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara. Ini melibatkan Kluster Tembok (45 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (14 kes), Kluster Penjara Sandakan (3 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes) dan Kluster GK Tawau (1 kes),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham memberitahu, daripada 1,114 kes baharu pada hari ini, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Dua kes import tersebut melibatkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara yang tiba dari Indonesia (1 kes di Selangor) dan Jordan (1 kes di Sarawak),” jelasnya.
Selain Sabah, Negeri Sembilan dan Lembah Klang, Perak mencatatkan 53 kes diikuti Pulau Pinang (34 kes), Johor (15 kes), Kedah (10 kes), Labuan (8 kes), Melaka (6 kes), Kelantan (5 kes) dan Sarawak (3 kes).
Menurut beliau, sehingga kini, terdapat 103 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sebanyak 803 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 33,772 kes (73.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN