14 NOV: Maklumat berkaitan Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) perlu disebarluaskan kepada semua pekebun kecil supaya golongan terbabit dapat memanfaatkannya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, skim lain iaitu Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) juga mesti disebarkan sehinggalah kepada orang-orang kampung yang mengusahakan sawit sebagai sumber pendapatan mereka.
“Kita mesti gunakan semua platform komunikasi yang ada, dan yang paling mudah ketika ini ialah WhatsApp kerana hampir seluruh rakyat Malaysia menggunakan komunikasi kaedah itu.
“Jika pekebun kecil yang mempunyai kebun sawit tidak menggunakan telefon pintar, pastinya anak-anak atau saudara-mara mereka menggunakannya dan boleh menyampaikan maklumat berkaitan skim-skim itu kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah kepada keluarga miskin yang mengusahakan kebun sawit di Kampung Hulu Teris, Sungai Pelek, semalam.
TSPKS dan IPPKS adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil persendirian untuk melaksanakan penanaman semula sawit dan membantu memperoleh input pertanian dengan penggunaan benih yang disahkan serta baka yang berkualiti.
Selain itu, skim ini juga dapat membantu pekebun kecil untuk meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, kebanyakan pekebun kecil di kampung berkenaan mewarisi kebun sawit peninggalan tinggalan orang tua mereka.
Selain itu, katanya, pokok-pokok sawit yang juga sebahagiannya sudah tua dan perlu ditanam semula.
“Rata-rata mereka mewarisi kebun sawit tinggalan orang tua seluas satu hingga tiga ekar (sehingga 1.2 hektar) setiap seorang di samping rumah pusaka yang uzur.
“Sebahagiannya masih mengusahakan sawit sebagai sampingan sahaja. Tapi mereka ceria apabila sawit semakin tinggi harganya ketika ini,” katanya.