14 NOV: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan menafikan khabar angin mendakwa beliau dipilih sebagai bakal calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.
Khairul Firdaus turut mengesahkan setakat ini tiada sebarang perancangan dan belum membuat persiapan PRK dan akan menyerahkan sebarang keputusan mengenai perkara tersebut kepada pimpinan tertinggi Bersatu Sabah.
Justeru itu, beliau menegaskan beliau setakat ini hanya kekal berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi sahaja.
“Tidak ada pun kita lakukan persediaan untuk menghadapi PRK. Saya tidak tahu akar umbi mana yang menyokong tetapi setakat ini saya berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Batu Sapi.
“Apa yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin perkatakan, secara logiknya kita semua dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu pasukan, itu yang akan berlaku. Mungkin sesiapa pun calon di bawah kerjasama bumbung GRS, semua harus disokong,” katanya, hari ini.
Terdahulu, timbul desas desus bahawa Khairul Firdaus akan bertanding dalam PRK Parlimen Batu Sapi namun Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun menyatakan tiada sebarang keputusan sama ada akan meletak calon atau sebaliknya.
UMNO Sabah sebelum ini menyatakan kesediaan membantu kempen PRK Parlimen Batu Sapi, jika ada calon daripada Perikatan Nasional (PN) bertanding kerusi tersebut yang akan berlangsung awal bulan depan.
Hasrat itu dinyatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu perkara itu selaras dengan kerjasama di antara UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan PN, walaupun BN sebelum ini menyatakan tidak mengambil bahagian dalam PRK itu.
Walau bagaimanapun, sehingga kini Bersatu Sabah yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Mohd Noor belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada akan bertanding atau sebaliknya manakala beberapa rakan dalam GRS seperti BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah menyatakan pendirian untuk tidak bertanding dalam PRK itu.
SPR sebelum ini menetapkan 5 Disember sebagai tarikh mengundi bagi PRK Parlimen Batu Sapi selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.