14 NOV: Dokumen Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) akan dijadikan rujukan utama kepada penyedia latihan kemahiran dalam membangunkan kurikulum latihan kemahiran bagi melahirkan pekerja berkemahiran.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2020 yang turut meluluskan sejumlah 33 NOSS.
“Daripada jumlah itu, 14 merupakan NOSS baharu dan 19 NOSS telah dikaji semula yang dibangunkan berdasarkan kompetensi yang diperlukan oleh industri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Awang yang juga merupakan Ahli Parlimen Pendang memberitahu menerusi mesyuarat yang dilaksanakan secara maya itu, Kementerian dicadangkan agar mewujudkan Kerangka Kerja Pemerkasaan TVET(Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) – Tahfiz.
Menurutnya, perkara ini dicadangkan yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai individu dalam kemahiran berteraskan islamik.
“Sehingga 31 Oktober 2020, sejumlah sembilan (9) NOSS berkaitan Pengurusan & Pengajaran Tahfiz serta Pengurusan Masjid telah dibangunkan dan latihan kemahiran bagi NOSS ini telah dilaksanakan di 22 pusat bertauliah di seluruh Malaysia.
“NOSS ini akan dilaksanakan menerusi platfom latihan kemahiran di pusat bertauliah SlaPB (Sistem Latihan Program Bertauliah) dan juga latihan kemahiran secara Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN),” katanya.
Selain itu, mesyuarat juga memutuskan untuk meningkatkan bilangan pusat bertauliah yang melaksanakan program kemahiran berteraskan Islam agar berpadanan dengan bilangan pusat tahfiz di seluruh Malaysia. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH