14 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya mengesan bau berhampiran kawasan Perumahan Saujana, Rawang, malam tadi.
Perkara tersebut disahkan menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi milik LUAS yang memaklumkan bau tersebut dikesan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi tadi ketika pemantauan Ops Sumber Air dilakukan.
Walau bagaimanapun, menurutnya, tiada henti tugas loji rawatan air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan disebabkan pencemaran itu.
Dua agensi itu membuat pensampelan bau air di Sungai Kundang berhampiran taman tersebut dan mengesan bau sebanyak 4 TON.
“LUAS bersama AIR Selangor telah membuat siasatan di kawasan Taman Velox dan mendapati kawasan takungan bersebelahan longkang berhampiran loji rawatan kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) telah melimpah.
“Yang disyaki bocor berkemungkinan disebabkan hujan lebat di sekitar kawasan berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan itu, kedua-dua agensi berkenaan mengambil tindakan pantas dengan meletakkan 14 beg karbon diaktifkan (AC) di aliran keluar dan di dalam takungan kawasan yang disyaki di kawasan longkang berhampiran LRK IWK.
“Pihak IWK sedang melaksanakan tindakan pembersihan dan kawalan di kawasan berkenaan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH