16 NOV: Seramai 32 daripada 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang tampil menyerah diri yang sebelum ini tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, 24 lelaki dan lapan wanita yang menyerah diri itu terdiri daripada 13 warga tempatan, sembilan warga Indonesia, tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga Myanmar, India dan Nepal.
“13 orang menyerah diri pada Khamis lepas, 11 menyerah diri pada Jumaat, tiga pada Sabtu manakala lima lagi menyerah diri semalam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran memberitahu sejak pelaksanaan PKPD di kawasan itu, 324 penduduk Medan 88 sudah pun menjalani ujian calitan dan daripada jumlah itu, empat daripada mereka didapati positif COVID-19.
Terdahulu, kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 12 November sehingga 25 November ini.
Justeru itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kesemua mereka tampil menyerah diri serta-merta atau akan ditangkap polis selepas masih ada yang dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas PKPD.
Ismail memberitahu mereka diminta kembali ke kawasan berkenaan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah memutuskan rantaian wabak itu.
Menurut beliau, mereka perlu pulang ke kawasan tempat tinggal mereka bagi mengelakkan COVID-19 merebak ke tempaf lain dengan meluas.