16 NOV: Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dalam kenderaaan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lipis kira-kira jam 6.40 petang tadi.
Menurut laporan awal, Hasbullah, 63, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik dikejarkan ke sebuah klinik sebelum dibawa ke Hospital Raub oleh pemandunya setelah Allahyarham didapati tidak sedarkan diri.
Allahyarham juga difahamkan mempunyai temu janji lebih awal untuk pemeriksaan jantung di hospital berkenaan.
Hasbullah pada pagi tadi menghadiri sidang Dewan Rakyat dan bergerak ke Kuala Lipis sejurus sidang ditangguhkan jam 2 petang ini.
Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mei lalu.
Menurut mesej daripada pimpinan UMNO Bahagian, jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Raub.
Allahyarham sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor selama dua penggal antara 2004 hingga 2013.
Dalam PRU lalu, Allahyarham mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Gerik selepas menang dengan majoriti 5,528 dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon PAS, Mohd Dahalan Ismail dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ibrahim Mohd Hanafiah.