16 NOV: Kerajaan Sabah mengalami kerugian berbilion ringgit berikutan ketidakcekapan pengurusan bekalan air yang berlarutan berpuluh tahun.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia berdasarkan anggaran kerugian RM300 juta setahun yang terpaksa ditanggung.
“Kalau di negeri lain jual air boleh untung tapi di Sabah sudah berpuluh tahun kita rugi, dalam setahun kita rugi RM300 juta.
“Bayangkan selama berpuluh tahun, sudah berapa bilion kita rugi,” katanya menjawab soalan tambahan Calvin Chong Ket Kiun (WARISAN-Elopura) mengenai isu bekalan air di Sandakan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, memberi jaminan kementerian akan memberi perhatian terhadap usaha menyelesaikan isu itu.
“Beri saya masa, bukan saya ada ‘black magic’, tapi kita lihat dalam masa lima tahun ini, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan cuba selesaikan masalah ini,” katanya.
Menjawab soalan asal Justin Wong Yung Bin (DAP-Sri Tanjong) mengenai masalah air di Tawau, Bung Moktar berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah mengambil beberapa inisiatif jangka pendek.
Katanya, ia termasuk membaiki segera paip yang pecah dan mengganti paip uzur di sekitar bandar Tawau, taman perumahan di Jalan Utara, Taman Semarak, Taman Bintang, Jalan Apas dan di beberapa lokasi lain.
“JANS juga melaksanakan catuan bekalan air berjadual apabila perlu dan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan yang terjejas,” katanya.
Bagi penyelesaian jangka panjang, Bung Moktar berkata. kementerian dalam peringkat akhir melantik juru perunding untuk melaksanakan kajian dan reka bentuk cadangan Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2.
“Projek ini merangkumi pembinaan komponen loji rawatan air dengan kapasiti 30 juta liter sehari, muka sauk, sistem rangkaian paip air dan tangki simpanan air.
“Pelaksanaan projek itu akan dimulakan pada 2022 dan dijangka siap pada 2024,” katanya.
Mengenai projek empangan air di Gudang Empat, Tawau atau Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III, katanya prestasi fizikal setakat ini ialah 1.76 peratus dan dijangka siap pada 2024.
Menjawab soalan tambahan Yung Bin mengenai persiapan JANS menghadapi musim kemarau tahun depan, Bung Moktar berkata, kerajaan negeri akan memastikan rakyat di Tawau tidak terputus bekalan air.