16 NOV: Rakan-rakan ahli-ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Shahidan Kassim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia akibat serangan jantung petang tadi.
Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, Hasbullah yang merupakan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) adalah seorang pemimpin yang berpengalaman luas dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.
“Pemergian YB Hasbullah merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara.
“Jasa dan pengorbanan beliau pasti akan dikenang sampai bila-bila. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” kata Ahli Parlimen Arau itu.
Turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, timbalan Shahidan iaitu Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.
“Takziah buat seluruh ahli keluarga Ahli Parlimen Gerik, YB Dato’ Hasbullah Osman, 63, yang meninggal dunia pada pukul 7 petang tadi di Raub, Pahang,” kata Timbalan Pengerusi PNBBC itu.
Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Abdul Samad pula menyifatkan pemergian Hasbullah sebagai ‘pemergian seorang pejuang’.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang soleh,” kata Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, berita kematian Hasbullah amat mengejutkan tambahan pula mereka sempat menikmati makan tengah hari bersama di Parlimen.
“Sahabat saya Tok Lah Ahli Parlimen Gerik. Such a good man. Berita yang amat mengejutkan. Baru berborak dengan beliau tengah hari tadi dan makan bersama,” ujarnya.