16 NOV: Tumpuan utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah untuk memulihkan, menjana ekonomi dan menyokong aktiviti perniagaan dan memastikan kesejahteraan rakyat adalah terpelihara.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, jumlah hutang kerajaan Persekutuan sehingga akhir September 2020 adalah berjumlah RM874 bilion atau 60.7 peratus daripada Keluaran Negara Negara Kasar (KDNK).
Abd Rahim yang juga Ahli Parlimen Bersatu Kudat, berkata berdasarkan pengiraan had statutori hutang nisbah hutang Kerajaan Persekutuan merangkumi Instrument sekuriti kerajaan Malaysia atau MGS, terbitan pelaburan kerajaan Malaysia (MGII), Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 56.6 peratus daripada KDNK.
“Bagaimanapun, kerajaan juga menanggung dan terdedah dengan tanggungan komitmen kerajaan seperti komitmen jaminan RM177 bilion bagi melaksanakan projek infrastruktur utama negara seperti pengangkutan awam termasuk LRT, MRT dan PAN Borneo Sarawak.
“Kedua hutang syarikat 1MDB berjumlah RM32 bilion sehingga September 2020 dengan mengambil kira kadar pertukaran wang asing ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Ketiga ialah anggaran liabiliti kewangan sebanyak RM173.3 bilion merangkumi Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP), inisiatif kewangan swasta (PFI) dan Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT) sebagai contoh projek pembangunan Putrajaya, pembinaan kuarters polis dan penyelenggaraan fasiliti kerajaan (hospital dan jalan),” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Padang Serai, M Karupaiya yang meminta Menteri Kewangan menyatakan hutang dan liabiliti kerajaan dan apakah langkah kerajaan dalam memastikan jumlah hutang dan liabiliti tersebut tidak menjadi beban kepada generasi akan datang.
Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata sekiranya mengambil kira defisit fiskal semasa termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi maka kedudukan hutang dan pendedahan liabiliti kerajaan semasa dianggarkan mencatatkan RM1.257 trilion atau 87.3 peratus daripada KDNK pada akhir September 2020.
Beliau berkata kerajaan sememangnya sentiasa mengambil maklum dan prihatin mengenai kedudukan hutang negara dan bertekad untuk memastikan ia sentiasa dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan negara dalam jangka masa panjang.
“Had statutori hutang nisbah bayaran khidmat hutang kepada hasil ditetapkan mencatat sekitar 15 peratus daripada KDNK iaitu RM3.5 bilion.
“Sukacita dimaklumkan bahawa sebahagian daripada hutang kerajaan ini adalah hutang domestik iaitu 96.7 peratus iaitu melalui terbitan MGS, MGII dan Bil Perbendaharaan yang pemegang utamanya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa institusi tempatan; manakala pinjaman luar pesisir adalah ditahap rendah iaitu RM29.3 bilion masih ditahap had statutori iaitu RM35 bilion.
“Dalam menangani suasana COVID-19 ini tumpuan khusus kerajaan adalah untuk memulihkan, menjana ekonomi dan menyokong aktiviti perniagaan dan memastikan kesejahteraan rakyat adalah terpelihara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI