16 NOV: Kerajaan Malaysia perlu bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku pertembungan antara dua pandemik iaitu COVID-19 dan influenza pada musim tengkujuh nanti.
Ahli Parlimen Bersatu Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata tindakan itu perlu berikutan banyak pihak kini melahirkan kebimbangan mengenai tahap kesiapsiagaan sistem perubatan di Malaysia jika berlaku pertembungan antara wabak COVID-19 dan influenza pada akhir tahun ini.
“Kerajaan perlu bersiap sedia untuk menghadapi pandemik berkembar berkenaan dengan memastikan sistem perubatan dan kesihatan Malaysia mampu menangani cabaran terbabit,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Zakaria juga melahirkan kebimbangan mengenai kesan keputusan kerajaan menunda urusan kemasukan pelajar baharu terutamanya dari luar negara ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia akibat penularan COVID-19 sekarang.
Beliau berkata, penundaan tarikh pelajar baharu terutama dari luar negara sudah pasti akan memberikan kesan domino kepada IPTS yang tidak mempunyai kedudukan kewangan mampan sehingga ada dalam kalanganya mungkin gulung tikar dan menutup operasi mereka.
“Apa pula yang akan berlaku kepada pelajar IPTS sedia ada sekarang mereka telah mengambil pinjaman PTPTN? Justeru saya kerajaan sedia pertimbangkan kepada IPTS terjejas memandangkan industri pendidikan tinggi menyumbangkan kepada lebih RM35 bilion hingga RM40 bilion kepada KDNK,” katanya.
Sementara itu Zakaria juga turut membangkitkan mengenai isu lebih 30,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpaksa menamatkan operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 lalu.
“Saya berharap kerajaan dapat memberikan tumpuan khas kepada sektor PKS ini kerana mereka juga menyumbangkan kepada KDNK sebanyak 38.9 peratus pada 2019.
“Sekiranya terdapat ‘ralat’ dalam proses penyampaian bantuan ini saya memohonkan kerajaan memperbetulkan dan meringkaskan proses berkenaan supaya PKS menerima bantuan pada kadar yang cepat,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI