16 NOV: Suspek kes perjudian dalam talian dan penipuan Macau Scam dikenali sebagai ‘Alvin Goh’ yang direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 akan kekal dalam tahanan polis sehingga 20 Disember.
Ia berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid yang menolak permohonan ahli perniagaan itu yang nama sebenarnya adalah Goh Leong Yeong, 32, selepas dia memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta.
“Setelah mempertimbangkan penghujahan bertulis dan autoriti yang dipohon oleh pemohon (Goh) dan responden, saya bersetuju dengan pihak responden untuk bantahan awal.
“Oleh itu, saya menolak permohonan (habeas corpus) ini,” kata Azhar dalam keputusan ringkas selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Goh memfailkan permohonan itu melalui notis usul di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 November lepas, menamakan pegawai penyiasat Asisten Suprintendan Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.
Pada 11 Oktober lalu, Alvin atau Goh Leong Yeong yang ditahan bagi siasatan kes ‘Macau Scam’ didapati meloloskan diri melalui pagar belakang bangunan SPRM Putrajaya.
Suspek yang juga koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China ditahan polis pada 27 Oktober lalu selepas dikesan bersembunyi di sebuah pusat peranginan di Pahang.