16 NOV: Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan akta keselamatan siber bagi membela nasib mangsa yang terlibat dengan penipuan dalam talian.
Melalui akta baharu itu, Ahli Parlimen BN Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mencadangkan agar wang mangsa yang ditipu dipulangkan semula kepada mereka.
Menurut beliau, undang-undang dan pelaksanaan akta itu harus dilakukan kajian dengan teliti agar penguatkuasaan dan undang-undang itu tidak mendatangkan masalah malah memudahkan mangsa mendapat semula wang mereka selesai mendapat keputusan daripada mahkamah.
“Sudah sampai akta keselamatan kena ada dan lebih penting kalau ada dah wujudkan akta ini, mesti beri pembelaan pada mangsa, berbilion mereka ini yang tak tahu apa.
“Tahniah kepada Timbalan Speaker dari Pengerang ketika menjadi Menteri Undang-Undang dahulu kerana telah mewujudkan mahkmah khas tetapi penguatkuasaannya bagaimana nak ditetapkan.
“Maka, satu undang-undang kena gubal bahawa mana-mana mangsa ini beri pembelaan duit mereka. Kalau dah putuskan di mahkamah memang dia menjadi mangsa, mana duit itu pergi, mesti buat satu undang-undang pulangkan kepada mereka tanpa perlu melalui tuntutan sivil dan sebagainya,” katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru, Noh amat mengharapkan agar kerajaan melaksanakan perkara ini yang menjadi kebimbangan beliau kerana kes jenayah siber meningkat secara mendadak yang amat memberi kesan kepada rakyat khususnya mereka yang terkesan ketika pandemik COVID-19.
Tambah beliau, pada 2018 sebanyak 23,778 kes dilaporkan yang melibatkan kerugian RM2.8 bilion dan meningkat pada tahun 2019 iaitu 28,508 kes yang menyebabkan kerugian keseluruhan mangsa berjumlah RM2.4 bilion.
“Kita lihat peningkatan jenayah siber setiap tahun, 2010 hanya 38 kes tetapi bila 2020 dalam tempoh 10 tahun sahaja mencatatkan 52,104 kes. Sudah sampai masanya kita mengubal akta keselamatan siber supaya dapat kita pusatkan bagi mengatasi masalah ini. Kalau belum bersedia hari ini mengatasi masalah ini, saya bimbang negara kita akan menjadio mangsa.
“Inilah saya harap nasib mangsa scammer ini perlu diberi pembelaan dan kalau hanya dakwa dan tiada pembelaan terhadap mangsa-mangsa ini, maka mereka tidak ada pembelaan yang kita hukum hanyalah penjenayah. Carilah jalan, buatlah undang-undang bila mereka menjadi mangsa pulangkanlah duit mereka dengan cara yang mudah,” katanya – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH