16 NOV: Kerajaan perlu membangunkan Pelan Induk Wakaf Negara bagi mewujudkan satu sistem wakaf yang lebih holistik dan memberi lebih banyak manfaat kepada umat Islam di Malaysia, pada masa depan.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, berkata penubuhan pelan induk berkenaan juga membolehkan kerajaan mempelbagaikan kegunaan harta wakaf terutama dalam membantu umat Islam termasuk pelajar dan institusi pendidikan tinggi terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.
“Saya kira sudah sampai masanya kerajaan mewujudkan satu pelan induk dibangunkan untuk membina satu sistem wakaf yang lebih holistik. Menerusi gagasan di bawa oleh kerajaan ini pemikiran bahawa wakaf hanya terhadap kepada tanah kubur dan masjid sahaja boleh dipecahkan.
“Ini kerana melalui pelan induk berkenaan penggunaan harta wakaf tidak lagi terhadap kepada institusi agama seperti tapak pembinaan masjid dan tanah perkuburan sahaja.
“Lebih ramai rakyat akan mendapat manfaat secara terus apabila pembangunan sistem wakaf diperluaskan kepada lebih banyak agensi kerajaan terutama dalam sektor pendidikan dan kesihatan,” katanya dalam ucapan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata kewujudan pelan induk berkenaan akan membolehkan harta wakaf dapat dimanfaat sepenuhnya untuk pembangunan dan kemajuan umat Islam di negara ini, pada masa depan.
Terdahulu, Wan Hassan menegaskan pemberian peruntukan RM1.4 bilion menerusi Belanjawan 2021 membukti kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak meminggirkan soal pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam biarpun negara sekarang menghadapi penularan wabak pendemik wabak Covid-19.
Beliau berkata pemberian peruntukan berkenaan adalah satu petunjuk jelas bahawa kerajaan tidak mengetepikan soal agenda pembangunan Islam di negara ini.
Berikutan itu Wan Hassan berkata beliau juga menyokong usaha kerajaan untuk memperkasakan institusi wakaf menerusi kerjasama antara Yayasan Wakaf Malaysia dengan agensi Kerajaan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).