17 NOV: Kes baharu COVID-19 hari ini terus melepasi empat angka apabila sebanyak 1,210 penularan dilaporkan dengan Sabah dan Lembah Klang kekal penyumbang tertinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baru tertinggi dikesan di Sabah yang melibatkan 499 kes, meningkat lebih 100 kes berbanding semalam.
Menurut beliau, kes-kes di Lembah Klang pula masih melaporkan penularan tiga angka dengan Selangor mencatatkan 271 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 245.
Katanya, hari ini juga menyaksikan Kelantan yang tidak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB) melaporkan 19 kes positif COVID-19 melibatkan sebuah kluster baru iaitu Kluster Mangketil.
“Keseluruhan jumlah kes positif dilaporkan di Malaysia kini berjumlah 49,730 dengan 12,788 adalah kes positif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan mereka diasing untuk rawatan.
“Daripada jumlah itu, 105 individu disahkan positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 40 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Hari ini juga melaporkan lima kes kematian dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 mencecah angka 318.
“Empat daripadanya dilaporkan di Hospital Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalau (dua) manakala satu lagi di Hospital Ipoh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Noor Hisham, 19 daripada 1,210 penularan hari ini ialah kes import melibatkan lima warganegara dan 14 bukan rakyat Malaysia.
“Kes sembuh COVID-19 yang dilaporkan hari ini pula berjumlah 1,018 kes,” jelasnya.
Negeri lain yang turut melaporkan kes baru COVID-19 ialah Negeri Sembilan dengan 67 kes manakala Perak (47), Pulau Pinang (31), Johor (14), Kedah (8), Melaka (2), Putrajaya (2) makala Sarawak, Labuan dan Terengganu masing-masing mencatatkan satu kes.
Pahang dan Perlis pula tidak mencatatkan pertambahan kes baharu COVID-19 hari ini. -Oleh M. HERMAN HAMID