17 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 517 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 467 individu telah dikenakan kompaun manakala 50 orang lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (187), tidak memakai pelitup muka (83), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti di pusat hiburan (56), aktiviti perjudian (42), rentas negeri / daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (37) dan lain-lain (49),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 8,427 pendatang asing tanpa izin (PATI), 789 tekong dan 351 penyeludup berjaya ditahan sepanjang 1 Mei hingga 16 November lalu.
Ismail Sabri menambah, sepanjang tempoh sama, sebanyak 227 bot dan 922 kenderaan darat berjaya dirampas.
“Semalam, Op Benteng berjaya menahan 51 PATI, dua penyeludup serta merampas tiga bot dan tiga kenderaan darat,” jelasnya.
Sebanyak 274 sekatan jalan raya Op Benteng dilaksanakan di seluruh negara semalam, melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (210), PDRM (54) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10).
Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan sebanyak 1,376 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan.
Sebanyak 1,376 premis didapati mematuhi SOP manakala sebuah premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN