17 NOV: Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung, petang semalam.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara.
“Justeru, saya bagi pihak Ahli Dewan Rakyat dan Parlimen Malaysia ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Datuk Hasbullah Osman terutama isteri beliau Datin Rosmawati Ariffin dan Datin Zaini Abu Bakar.
“Saya berharap seluruh ahli keluarga Allahyarham terus tabah dan sabar atas pemergian Datuk Hasbullah dan ketentuan Ilahi ini.
“Kita mendoakan semoga Allah akan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam ucapan takziah sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Azhar berkata Allahyarham adalah seorang pemimpin berwibawa dan amat aktif dengan urusan Parlimen.
Beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gerik sejak 5 Mei 2013 hingga kini.
Allahyarham juga merupakan Ahli Jawatakuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ahli Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Sesungguhnya jasa pengorbanan Allahyarham amat besar dan bermakna kepada negara. Oleh yang demikian saya menjemput Ahli Yang Berhormat bangun kepada beragama Islam diminta menyedekahkan bacaan al-Fatihah kepada roh Allahyarham Datuk Hasbullah Osman manakala bagi bukan muslim diminta bertafakur selama seminit,” katanya.
Hasbullah, 63, dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung dalam kenderaaan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lipis kira-kira jam 6.40 petang semalam. – Oleh HAIKA KHAZI