17 NOV: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpandangan bahawa urusan penjualan dan pelupusan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dijalankan secara telus, terbuka dan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif.
Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, perkara itu termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan proses kerja berkaitan.
Menurut beliau, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL perlu mengkaji semula Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dengan mengambil kira perubahan daripada draf asal.
“Ini kerana dalam tempoh masa antara draf pelan dan pelan yang telah diwartakan, lebih 200 arahan pembangunan (DO) telah dikeluarkan secara khusus mengakibatkan kesan negatif kepada alam sekitar, penukaran kepada zon komersial dan penambah kepadatan termasuk plot ratio,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
PAC memberi saranan-saranan tersebut berikutan prosiding transaksi tanah milik DBKL di bawah KWP yang diadakan pada 4 dan 23 April, 19 dan 20 Ogos serta 12 November tahun lalu.
Antara yang dipanggil memberi keterangan adalah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
Kah Woh menambah, kerajaan juga perlu mengkaji semula fungsi dan kesesuaian Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) selari dengan hasrat penubuhannya bagi melindungi kebajikan warga kota Kuala Lumpur.
Beliau memberitahu, struktur dan amalan YWP yang sedia ada tidak membolehkan penglibatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur tanpa kewujudan konflik kepentingan.
“Status YWP hendaklah diubah menjadi sebuah badan berkanun bagi membolehkan pemantauan yang lebih efektif oleh pihak kerajaan,” jelasnya.
Kah Woh berkata, PAC juga mendapati pengurusan YWP terdedah kepada konflik kepentingan memandangkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah dalam yayasan itu yang mempunyai urusan pembelian tanah dengan DBKL.
Menurut beliau, Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah berperanan sebagai custodian yang melindungi kebajikan warga kota Kuala Lumpur.
“Pengurusan YWP sebagai sebuah syarikat yang didaftar di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta Syarikat 2016) tidak dapat dipantau oleh mana-mana pihak berkuasa termasuk Jabatan Audit Negara (JAN),” katanya.
Sementara itu, rumusan-rumusan yang dibuat oleh PAC terhadap prosiding tersebut adalah seperti berikut:
i) DBKL tidak mempunyai sebarang SOP bagi urusan pelupusan atau penjualan tanah miliknya. Hanya selepas tahun 2015, DBKL menambah baik proses penjualan dan pelupusan tanah menerusi pemerkasaan Jawatankuasa Penswastaan melalui penyediaan senarai semak yang mempunyai prosedur yang lebih terperinci dan mendapat pengiktirafan ISO (tahun 2017).
ii) Kaedah penyelesaian terhadap 97 transaksi penjualan tanah milik DBKL yang telah terjual sejak tahun 2011 tidak merujuk kepada sebarang SOP. Proses tersebut adalah terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota Kuala Lumpur.
iii) Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang telah diluluskan oleh Menteri adalah berbeza dengan draf pelan yang dibentangkan kepada orang awam pada 2008. Draf pelan yang digazet belum pun mendapat maklum balas daripada semua pihak berkepentingan di Kuala Lumpur.
iv) Lebih daripada 200 DO telah dikeluarkan oleh DBKL sementara menunggu kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan ke atas pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang menyebabkan beberapa perubahan seperti kesan negatif kepada alam sekitar, penukaran kepada zon komersial dan penambahbaikan kepadatan termasuk nisbah plot. – Oleh HUSSAINI AMRAN