18 NOV: Walaupun Belanjawan 2021 secara keseluruhannya adalah baik, namun ia bukan bermakna bajet itu tidak boleh ditambah baik demi kebaikan rakyat dan negara khususnya dari sudut meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Ahli Parlimen BN Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata beliau amat berterima kasih kepada Kementerian Kewangan dan kerajaan kerana menaikkan peruntukan untuk insentif pengeluaran harga getah dari RM150 juta pada 2020 kepada RM300 juta tahun depan.
Ahmad Nazlan berkata, beliau percaya bantuan berkenaan sedikit sebanyak akan membantu meringankan kos sara hidup pemilik kebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya, beliau amat berharap supaya sebahagian peruntukan berkenaan disalurkan kepada pekebun getah yang menghasil lateks.
“Ini kerana negara memerlukan 348,000 tan metrik getah cair yang digunakan dalam pengeluaran produk berasaskan kesihatan. Peningkatan permintaan terhadap produk getah akibat pendemik Covid-19 di seluruh dunia tidak membantu penoreh kerana kebanyakan mereka mengeluarkan getah dalam bentuk ‘cuplump’ atau getah sekerap.
“Sedangkan banyak permintaan di pasaran dunia adalah dalam bentuk lateks. Jadi saya berharap kerajaan memberikan pertimbangan sebagai galakkan kepada penoreh getah untuk mengalihkan tumpuan daripada mengeluarkan getah sekerap kepada lateks,” katanya ketika berucap di sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di Parlimen sebentar tadi.
Ahmad Nazlan berkata, beliau percaya sekiranya pekebun dan penoreh getah jika diberikan prasarana secukupnya untuk pengeluaran lateks sudah pasti akan beralih ke arah itu kerana harganya jauh lebih mahal berbanding sekerap.
Beliau percaya, usaha berkenaan boleh menjimatkan wang kerajaan daripada terus membayar insentif IPG kepada pekebun dan penoreh getah di seluruh negara pada masa depan.
Malah, beliau berkata ketika ini hanya 10 peratus keperluan getah lateks dikeluarkan oleh kawasan penanaman getah di seluruh negara.
“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi kerana melontarkan idea untuk mewujudkan kawasan penghasilan lateks di Koridor Wilayah Timur (ECER),” katanya.