18 NOV: Sebarang keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya dicabar di mana-mana mahkamah di negara ini.
Ahli Parlimen BN Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka mempunyai kuasa budi bicara dalam menentukan soal berpuas hati dalam mana-mana perkara.
“Di bawah Perkara 158, jika mana-mana dalam hal puas hati Yang di-Pertuan Agong dalam Fasal 1, Fasal 2B adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.
“Tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding dalam apa-apa jua bentuk atau apa-apa alasan mengenai kesahan hal puas hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamed Nazri turut mengingatkan semua pihak agar jangan memburukkan keadaan dengan mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong di mahkamah.