18 NOV: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim meninggal dunia pada jam 3.10 pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak-anak Allahyarham, Imri dan Sany melalui mesej yang tular dalam media sosial.
“Urusan solat jenazah dan pengebumian akan dimaklumkan seterusnya.
“Mohon bersama-sama kita mendoakan agar roh beliau sentiasa dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh,” kata mereka.
Mokhtar, 78, pernah menyandang jawatan Ahli Parlimen Tampin mulai 1974 hingga 1983 dan Ahli Parlimen Rembau-Tampin mulai 1972 hingga 1974.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Luar, Timbalan Menteri Pertahanan serta Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.
Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang.