18 NOV: Pengaktifan sistem Terowong Lebuhraya SMART yang diuruskan oleh Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) semalam, berjaya mengelakkan kejadian banjir di kawasan Masjid Jamek, Lebuh Ampang, Dataran Merdeka, Lebuh Pasar dan Jalan Tun Perak di ibu negara.
Menurut kenyataan SMART hari ini, syarikat itu menerima isyarat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) yang memerlukan penutupan laluan trafik bagi mengaktifkan sistem operasi banjir pada 5.40 petang.
“Kesemua kenderaan berjaya dilencongkan secara keseluruhannya pada 6.20 petang,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut SMART, secara keseluruhannya, kira-kira 500,000 meter padu air berjaya dilencongkan dari Sungai Ampang dan Sungai Klang melalui terowong itu semalam.
Laluan itu dibuka semula kepada trafik pada 8.34 malam selepas bacaan kadar aliran sungai berkenaan menurun, kata SMART.
Maklumat dan status terkini operasi Terowong Lebuhraya SMART boleh diperolehi dengan melayari laman web, www.smarttunnel.com.my atau menghubungi talian bantuan SMART di 1-300-88-7188.