18 NOV: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) di tapak pembinaan seluruh negara bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 yang dikesan meningkat di kawasan itu kebelakangan ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, susulan itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak industri bagi mendapatkan pandangan.
Beliau berkata KKR juga bercadang mengguna pakai kaedah yang diaplikasi di Singapura iaitu menjalankan ujian saringan COVID-19 setiap dua minggu bagi pekerja di tapak binaan.
“Kita sedar di tapak binaan memang berlaku kes yang agak besar sebab mereka ramai, mereka tinggal setempat dan bila tinggal setempat, percampuran dan sebagainya boleh berlaku.
“Pertemuan dan perbincangan tersebut akan diadakan secara maya bagi mencari penyelesaian terbaik dan lebih ketat di tapak binaan bagi mengekang penularan pandemik tersebut, ” katanya dalam wawancara bersama media mengenai Belanjawan 2021 hari ini.
Fadillah berkata, KKR akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia bagi menyerap separuh kos ujian saringan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengurangkan beban pihak berkaitan untuk menanggung kos ujian itu.
“Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), polis serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua tapak binaan khususnya yang mempunyai kluster jangkitan bagi membendung penularan wabak itu,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengingatkan majikan serta pekerja dalam sektor pembinaan dan keselamatan di negara ini agar mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.
Beliau berkata ini kerana terdapat peningkatan ketara kes baharu COVID-19 di Selangor dan Kuala Lumpur semalam yang membabitkan kluster pekerja.