19 NOV: Sebanyak 512,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro telah melakukan permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 yang telah dibuka mulai 1 hingga 31 Oktober lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi memastikan PKS benar-benar layak demi kelangsungan perniagaan mereka, setiap permohonan akan disemak silang dengan data agensi yang ditetapkan kerajaan termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Berdasarkan jangkaan awal, bilangan yang akan diluluskan jauh daripada sasaran awal yang ditetapkan iaitu 200,000 PKS mikro. Adalah disasarkan PKS mikro yang telah memohon GKP 2.0 boleh menyemak status kelulusan bermula 27 November ini manakala tarikh pembayaran bermula 30 November ini.
“Ada juga permohonan yang tidak diluluskan GKP 2.0, antara sebab utama tidak memenuhi syarat iaitu tidak memegang lesen dengan PBT dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Selain itu, tidak memenuhi kriteria PKS mikro iaitu bilangan pekerja tidak melebihi lima orang.
“Kerajaan amat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya termasuk PKS mikro, Oleh itu, GKP 2.0 merupakan bantuan berterusan daripada kerajaan,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyan Menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong tentang jumlah permohonan dan kelulusan yang diterima untuk GKP 2.0 dan sebab-sebab utama permohonan ditolak.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberitahu, GKP 2.0 merupakan bantuan secara terus kepada PKS mikro yang berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini yang dapat membantu mengurangkan beban kewangan perniagaan ekoran penjualan wabak COVID-19.
“Di samping itu, dapat meningkatkan pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro. Di bawah GKP asal diumumkan sebelum ini, lebih 545,000 telah menerima manfaat dengan jumlah keseluruahan sebanyak RM1.63 bilion,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH