20 NOV: Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan ucapannya di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan Belanjawan 2021 bukan ditujukan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya terdapat kekeliruan sebutan kerana beliau menggunakan loghat utara.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, ketika sedang berucap meminta semua ahli Parlimen menyokong belanjawan itu, bekas menteri kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bangun dan memohon pencelahan menyebabkan ucapannya terganggu.
“Saya tidak berkata macam tu. Mungkin dalam bahasa atau pelat utara kedengaran salah. Tapi saya memang tidak sebut perkataan Pekan,” katanya kepada PNBBC.
Beberapa laporan media hari ini memetik seolah-olah Shahidan memberitahu Najib akan jadi pengkhianat rakyat jika menolak Belanjawan 2021 ekoran beberapa kritikan yang diucapkan bekas perdana menteri itu dalam perbahasan belanjawan baru-baru ini.
Dalam perbahasannya. Shahidan secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada Belanjawan 2021 dan mahu sesiapa yang tidak mahu menyokong agar tidak hadir ketika pengundian nanti.
“Kita menyatakan sokongan tak berbelah bagi kepada kerajaan pimpinan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Kita nak menyatakan bahawa kita bersetuju kepada belanjawan yang dibentangkan oleh menteri kewangan. Rakyat nak melihat kita sehati sejiwa.
“Kalau tak sokong jangan hadir Parlimen bila sampai masa (mengundi) nanti,” katanya berseloroh.
Shahidan berkata, dalam perbahasannya juga mahu kerajaan berlaku adil dengan memberikan insentif khas one off RM500 bukan hanya petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.
Beliau menyarankan agar bantuan tersebut melibatkan semua agensi pasukan hadapan dalam menghargai jasa dan penat lelah mereka dalam menjaga keselamatan negara daripada Covid-19.
Shahidan juga berterima kasih kepada kerajaan dan pasukan barisan hadapan kerana memperkenalkan cara-cara menangani Covid-19 dengan terbaik dan tidaklah seperti yang dilakukan ketika zaman pemerintahan Pakatan Harpan (PH).
“Sebenarnya Covid-19 bukan berlaku semasa Pagoh memerintah tetapi berlaku pada bulan Disember 2019 dan 2020. Kita diberi amaran oleh WHO bahawa Malaysia antara negara menghadapi Covid-19 tapi apa kerajaan PH buat untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini yang hanya jadi pemerhati.
“Namun, syukur Alhamdulillah kerajaan PN berjaya meletakkan orang profesional pada tempat sepatutnya. Kerajaan PH pula pada 28 Januari 2020 boleh tengok gambar ini (bekas menteri pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi), bekas menteri PH ini, Covid-19 pun tak apa, ini pelancong-pelancong datang semua sihat.
“Ketua pengarah kesihatan duduk sebelah tengok sahaja, menteri kesihatan pula sedang senyum dengar cakap menteri pelancongan PH. Tapi bila Pagoh ambil alih, perkenalkan PKP dan SOP ketat sehingga usaha kita menangani gelombang pertama Covid-19 terbaik di dunia.”
Ucapan ini membuatkan bekas menteri dan timbalan menteri kesihatan ketika zaman pemerintahan PH tidak senang duduk dan bangun mahu pencelahan bagi memberi penjelasan.
Bagaimanapun disebabkan kekangan masa Timbalan Speaker Rashid Hasnon tidak memberikan laluan kepada mereka.