19 NOV: Garis panduan baru oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penjualan dan penggunaan alkohol di bandaraya itu merupakan langkah tepat yang dilaksanakan kerajaan sebagai salah satu usaha mengurangkan bahaya jenayah sosial melibatkan arak.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata pihaknya menyokong keputusan dasar itu dengan meminta agar sesi libat urus secara berterusan perlu dilakukan agar masyarakat dan pemilik perniagaan dapat memahami kewajaran dasar ini.
Menurut beliau, polisi ini diharapkan bukan sahaja dapat mencegah lebih banyak kes pemandu mabuk tetapi juga dapat mengurangkan masalah keganasan rumah tangga akibat pengambilan alkohol.
“Penyalahgunaan alkohol membawa kepada peningkatan bahaya sosial dan selalunya ia melibatkan kemalangan kenderaan, keganasan rumah tangga dan juga gangguan sosial.
“Bagaimana kita akan menguruskan masalah ini jika kita tidak membuat dasar untuk mencegah masalah alkohol? Kami juga menyedari tindak balas Ahli Parlimen DAP terhadap keputusan dasar ini.
“Sekali lagi, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan percaya bahawa langkah pencegahan dan panduan baru DBKL adalah langkah pertama yang baik dan perlu diteruskan,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, DBKL dalam kenyataannya baru-baru ini, memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa pada Ahad 15 November lalu.
Menerusi garis panduan itu, kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.
Dalam pada itu, DAP Wilayah Persekutuan dikatakan akan mengumpul bantahan daripada pihak berkepentingan yang terjejas dengan peraturan baru penjualan arak beralkohol tinggi (liquor) oleh DBKL.
Dalam pada itu, Mohamed Nizham memberitahu sudah tentu keputusan polisi DBKL ini memberikan kesan kepada pemain industri namun kerajaan mempunyai masalah yang lebih besar untuk ditangani.
Justeru itu, beliau menegaskan semua pihak yang berkepentingan dalam industri alkohol harus bertanggungjawab dalam masalah alkohol.
“Tidak ada yang hanya boleh menutup mata dan menjana wang dari industri ini. Kami ingin mendengar jalan keluar dan cadangan dasar alternatif
“Tetapi sayangnya, bagi beberapa Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, apa yang mereka lakukan hanyalah mengeluh dan membangkang. Anda tidak perlu menjadi Ahli Parlimen untuk melakukannya,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga harus melihat akan keperluan untuk semua pemain industri terutama penjual lebih bertanggungjawab terhadap pelanggan mereka. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH