19 NOV: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesyorkan perintah darurat turut dilaksanakan di Gerik seperti mana Parlimen Batu Sapi, bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini.
Ahmad Faizal berkata, ia adalah langkah paling tepat dalam memberi fokus kepada mengatasi pandemik COVID-19, berbanding memberi keutamaan kepada politik.
“Saya langsung tidak pernah terlintas dalam kepala untuk memikirkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
“Apa yang penting sekarang, kita sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang semakin membarah, secara peribadi perihal politik ini sebenarnya tidak menjadi keutamaan bagi diri saya,” katanya.
Beliau memberitahu sidang media pada Majlis Perasmian Pelancaran Program Projek Khas Tani Covid-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentunya akan bersiap untuk mendadakan pilihan raya kecil di kawasan itu yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada notis kekosongan.
“Proses itu akan berjalan tetapi mengambil pengajaran daripada titah Yang di-Pertuan Agong di Batu Sapi, saya fikir mungkin perkara yang sama (darurat) boleh dilaksanakan terhadap Gerik,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah, bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata titah itu dikeluarkan baginda selepas berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menasihati baginda berkenaan langkah itu.