19 NOV: Moratorium secara pukal fasa kedua perlu dilaksanakan bagi membantu rakyat yang berhadapan dengan situasi sukar akibat pandemik COVID-19.
Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, ketika krisis kewangan 1997 dan 1998, kerajaan telah menyelamatkan bank dengan menggunakan wang cukai rakyat antaranya dengan mengurangkan nisbah rizab berkanun daripada 13.5 peratus kepada 10 peratus yang membenarkan peningkatan mudah tunai bank berjumlah RM14 bilion.
“Hari ini, rakyat sedang susah, maka tiba masanya untuk bank pula membantu menyelamatkan rakyat.
“Selaras dengan slogan Perdana Menteri bahawa ‘tiada siapa yang tertinggal’, saya memohon Kerajaan meluluskan moratorium secara pukal fasa kedua,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, menurut beliau, golongan B40 perlu ada akses yang lebih kepada pinjaman mikro seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan banyak agensi di Sabah.
Antara agensi pemberi pinjaman perniagaan lain seperti Yayasan Usaha Maju (YUM), Sabah Credit Corporation, Borneo Housing Mortgage Finance Berhad, malah agensi-agensi Pemberi Pinjaman Berlesen (Licensed Money Lender).
“Semua ini mesti juga beri moratorium kepada semua para peminjam. Moratorium bank termasuk agensi-agensi kerajaan pemberi pinjaman dan swasta juga harus memberi moratorium ini.
“Untuk memastikan tujuan ini dapat dilaksanakan secara holistik dan berkesan, saya meminta kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas atau pasukan bersepadu yang merentasi kementerian dan semua kerajaan negeri supaya semua agensi terlibat dapat dibawa bersama dalam memastikan objektif ini tercapai,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad juga mencadangkan agar kerajaan menimbangkan pemberian diskaun atau pengurangan bil air dan elektrik rakyat Malaysia sepanjang pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Dipertingkatkan Bersasar (PKPDB).
Beliau turut menerima banyak keluhan daripada rakyat yang terbeban dengan bil air dan elektrik mereka yang melambung dua kali ganda, sepanjang tempoh PKPB dan PKPBD.
“Sejajar dengan pendekatan Malaysia Prihatin oleh kerajaan, saya mencadangkan agar kerajaan menimbangkan pemberian diskaun atau pengurangan bil air dan elektrik.
“Kerajaan juga diharap akan memberi tumpuan khusus kepada sekolah-sekolah yang bukan sahaja daif, malah sekolah yang sering berlaku bencana alam seperti banjir terutamanya Parlimen Kimanis,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI