19 NOV: Hampir separuh atau 108 daripada seramai 277 individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam didapati tidak memakai pelitup muka.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan-kesalahan lain yang dikesan termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (51), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (33).
“Secara keseluruhan, seramai 277 individu telah dikompaun manakala 11 individu pula direman dan seorang dijamin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup dan sembilan kenderaan darat.
Sementara itu Ismail Sabri menjelaskan, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 11,600 operasi sanitasi merangkumi 137 zon.
Menurut beliau, sebanyak 13,858 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,826 pusat perniagaan, 1,644 kawasan perumahan termasuk projek perumahan rakyat (PPR), 2,737 tempat awam, 354 pasar raya dan 6,297 bangunan kerajaan.
“Semalam, sebanyak 33 operasi sanitasi meliputi 6 Zon Merah, 4 Zon Jingga, 8 Zon Kuning dan 7 Zon Hijau yang melibatkan 12 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan iaitu Pulau Pinang (7 operasi), Pahang (4 operasi), Melaka (4 operasi), Kedah (4 operasi), Negeri Sembilan (2 operasi), Johor (2 operasi), Kelantan (2 operasi), Sarawak (1 operasi), Perak (1 operasi), Terengganu (1 operasi), Selangor (1 operasi), Perlis (1 operasi), dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2 operasi) serta Labuan (1 operasi),” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 70,939 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya ditempatkan di 73 hotel dan 22 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
Beliau turut memaklumkan, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 662 pemantauan harian semalam ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (459), pemborong (171) dan pengilang (32).
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi,” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,143 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati kesemua premis yang diperiksa telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN