19 NOV: Penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mampu membantu kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan membantu menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat selain berfungsi merapatkan perpaduan rakyat Malaysia.
Justeru, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan kerajaan agar memberi keutamaan jawatan tersebut kepada mereka yang telah kehilangan kerja khsususnya pekerja-pekerja kontrak yang dibuang begitu sahaja ketika zaman Pakatan Harapan (PH).
Shahidan turut mempersoalkan tindakan PH yang memansuhkan JASA tetapi telah melantik begitu ramai pegawai khas menteri yang mana ada peranan dan tanggungjawab pegawai itu boleh dilaksanakan oleh JASA.
“Sebelum ini semua pihak marah kepada PH kerana membuang pekerja kontrak nak dekat 30,000 termasuk pegawai-pegawai JASA tetapi dalam masa sama pihak PH boleh ambil pegawai-pegawai khas bertaraf Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) termasuk Kementerian Kewangan.
“Ambil wujudkan jawatan-jawatan khas tetapi JASA yang majoriti mereka gaji di antara RM1,000 ke RM2,000 bukan sahaja dibuang tetapi jabatannya pun dimansuhkan. JASA bukan diwujudkan main-main begitu sahaja. Dia (JASA) dah ada bajet, 2015 RM74.4 juta, 2016 RM70.51 juta, 2016, RM76.37 juta, 2019 dan 2020 dimansukan manakala 2021 RM85.5 juta.
“Jadi, kita kena ingat Lembah Pantai bahawa kita (kata Lembah Pantai) kecewa kerana berita-berita berhubung COVID-19 tidak dapat disampaikan dengan baiknya kerana tidak ada agensi khas menyampaikan berita, maka sebab itu kita wujudkan JASA dan JASA ini bukan permainan kata-kata yang bukan diwujudkan begitu sahaja tetapi berdasarkan kesinambungan.
“Saya nak bagitahu Kerajaan PH kena dedahkan balik berapa orang pegawai-pegawai khas menteri diwujudkan sehingga mereka mansuhkan JASA yang merupakan jabatan bukan untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi mana-mana kerajaan memerintah boleh gunakan JASA untuk menyampaikan berita benar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, kerajaan diharapkan berlaku adil dengan memberikan insentif khas one off RM500 kepada tidak hanya petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.
Sebaliknya, beliau menyarankan agar bantuan tersebut melibatkan semua agensi pasukan hadapan dalam menghargai jasa dan penat lelah mereka dalam menjaga keselamatan negara daripada COVID-19.
Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan dan pasukan barisan hadapan kerana telah memperkenalkan cara-cara menangani COVID-19 dengan terbaik dan tidaklah seperti yang dilakukan ketika zaman pemerintahan kerajaan PH.
“Sebenarnya COVID-19 bukan berlaku masa Pagoh tetapi berlaku pada bulan Disember 2019 dan 2020 kita telah diberi amaran WHO bahawa Malaysia antara negara menghadapi COVID-19 tapi apa kerajaan PH buat dengan yang patut mainkan peranan untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini yang hanya jadi pemerhati.
“Namun, syukur Alhamdulillah kerajaan PN berjaya letakkan orang profesional pada tempat sepatutnya. Kerajaan PH pula pada 28 Januari 2020 boleh tengok gambar ini (bekas Menteri Pelancongan), bekas menteri PH ini, COVID-19 pun tak apa, ini pelancong-pelancong datang semua sihat.
“Ketua Pengarah Kesihatan duduk sebelah tengok sahaja, Menteri Kesihatan pula sedang senyum dengar cakap Menteri Pelancongan PH. Tapi bila Pagoh ambil alih, perkenalkan PKP dan SOP ketat sehingga usaha kita menangani gelombang pertama COVID-19 terbaik di dunia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH