19 NOV: Seramai 50,889 penuntut universiti awam, politeknik dan kolej komuniti atau 7.9 peratus mengambil keputusan untuk terus kekal di kampus sejak tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula sehingga 11 November lalu.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman manakala seramai 11,3297 pelajar institut pengajian tinggi swasta berada di dalam kampus selepas penangguhan pendaftaran pelajar sesi 2020/2021 secara bersemuka.
Menurut beliau, majoriti pelajar masih berada di rumah selepas kementerian meluluskan agar sesi pendaftaran serta kemasukan pelajar baharu dan sedia ada yang dilaksanakan secara bersemuka pada bulan ini ditangguhkan berikutan peningkatan COVID-19 secara mendadak.
“Ini selaras perintah PKPB yang dikuatkuasakan oleh kerajaan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan namun begitu kementerian peka dan prihatin memberi pertimbangan khas yang mempunyai keperluan bagi terus kekal berada dalam kampus.
“Antara pelajar yang diberikan pertimbangan adalah mereka yang memerlukan kemudahan teknikal khsususnya seperti fasiliti makmal serta pelajar yang memerlukan persekitaran yang lebih kondusif atau mempunyai masalah capaian internet untuk meneruskan pembelajaran di dalam talian,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bersatu Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun tentang berapa jumlah sebenar pelajar institusi pengajian tinggi yang masih berada di kampus dan juga yang berada di rumah selepas pengumuman penangguhan kemasukan pelajar ke kampus sesi 2020/2021.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Azizah tentang bagaimana pihak kementerian dapat memastikan kualiti pembelajaran pelajar terjamin menerusi dalam talian, Mansor memberitahu pelbagai cara dan inisatif yang dilaksanakan pihak kementerian bagi memastikan perkara tersebut terlaksana.
“Kementerian sentiasa prihatin terhadapat IPT khususnya di luar bandar yang sukar untuk mendapat akses capaian internet bagi mengikuti sesi PdP dalam talian. Antara respon strategik kementerian untuk atasi perkara itu, menyalurkan maklumat kepada 871 lokasi kemudahan pusat internet di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Seterusnya bagi pelajar keluarga B40 universiti awam turut mendapat pelan data capaian internet bagi pelajar-pelajar ini seterusnya menyediakan bantuan pendidikan peranti kepada lebih 8956 pelajar dalam kalangan keluarga B40 dan juga memberikan bantuan tunai sebanyak RM50 secara terus kepada pelajar baharu sesi akademik 2020/2021,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH