19 NOV: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah selepas merampas 96.39 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM4.8 juta, dalam lima serbuan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang, Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam serbuan serentak oleh tiga Ibu Pejabat Polis Kontinjen itu, enam individu berusia 34 hingga 56 tahun ditahan termasuk seorang wanita warga Thailand.
Katanya, dalam serbuan yang bermula pada jam 11.40 pagi hingga 2 petang itu, dalang sindiket terbabit iaitu lelaki tempatan berusia 30-an turut ditahan.
“Pecahan dadah yang berjaya dirampas adalah 76 kg syabu; 5.8 kg (ecstacy); 1.1 kg (ketamin); 0.45 kg (heroin) dan 13 kg (Erimin 5).
“Turut disita, enam kenderaan pelbagai jenis; wang tunai; barang kemas serta dua jam tangan.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM5.6 juta,” katanya pada sidang media di IPK Selangor hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan mula aktif menjalankan aktiviti penyeludupan dadah sejak awal tahun ini dan dipercayai memasarkan dadah berkenaan ke Sabah serta Sarawak.
Katanya, sindiket berkenaan dipercayai menyeludup dadah dengan menggunakan perkhidmatan kurier ataupun kargo.
“Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis syabu (Methamphetamine).
“Siasatan juga mendapati dua suspek mempunyai rekod dadah (memasukkan dadah ke dalam badan),” katanya.
Razarudin berkata, mereka direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.