19 NOV: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berhubung dakwaannya mengenai penjualan tanah oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Annuar, dakwaan Kok Wai mengenai penjualan 42 plot tanah DBKL dalam tempoh beliau menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan adalah satu fitnah dan tuduhan berat.
Tegas beliau, peguamnya sudah diarahkan untuk segera mengambil tindakan perundangan terhadap Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras.
Katanya, langkah sedemikian perlu kerana tuduhan kononnya DBKL terbabit dengan transaksi penjualan 42 plot tanah mencetuskan pelbagai kekeliruan dan kritikan dalam kalangan masyarakat.
“Saya ingin tegaskan, sehingga saat ini, tiada satu pun permohonan daripada DBKL sampai kepada saya, untuk menjual aset atau tanah oleh DBKL.
“Cukup kecewa apabila persoalan sebegini sepatutnya boleh ditimbulkan dalam dewan dan boleh berikan jawapan atau pencerahan.
“Tetapi disebabkan ia diutarakan di luar Parlimen, maka ia tertakluk kepada undang-undang tertentu dan saya sudah arahkan peguam untuk ambil tindakan undang-undang mengikut jalur dan proses sedia ada,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Kok Wai bahawa 42 plot tanah DBKL dijual dalam tempoh lapan bulan, sejak Annuar dilantik sebagai menteri pada Mac lalu.
Sementara itu, DBKL dalam satu kenyataan media menafikan dakwaan tersebut.
Jabatan Perancangan Korporat DBKL, berkata semakan mendapati 42 plot tanah milik persendirian di Kuala Lumpur memohon proses perubahan kepada zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot terhadap Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020).
Mengenai 97 transaksi penjualan tanah DBKL katanya, secara keseluruhan transaksi pelupusan tanah berlaku sebelum 2020 dan tidak membabitkan keputusan Annuar.
“Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982 (Akta 267) memperuntukkan bagi pemilik untuk mengubah zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot dalam Pelan Tempatan (PBRKL2020) diwartakan.
“Ia selaras dengan peruntukan Seksyen 17 Akta 267. Daripada 42 plot terbabit, tiga permohonan perubahan diwartakan, enam dalam proses pewartaan, manakala 33 masih dalam pertimbangan.
“Semua proses ini mengikut peruntukan termaktub dalam akta sedia ada,” kata DBKL.