19 NOV: Penularan wabak COVID-19 membuka mata usahawan desa dan luar bandar untuk mengunai pakai teknologi kepintaran buatan (AI) dan platform e-dagang untuk mempromosi, memasarkan dan menjual produk dihasilkan mereka ke pasaran luar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata berterima kasih kepada COVID-19 kerana membuka mata usahawan dan pembeli untuk menggunakan AI dan platform e-dagang dalam menjalankan urus niaga mereka dari bandar mahu pun luar bandar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bersatu Mersing berkata, jumlah urus niaga menggunakan platform e-dagang dalam kalangan usahawan luar bandar menunjukkan peningkatan sebanyak 39 peratus pada 2020 berbanding 2019.
“Sebagai contoh pada 11 November lalu, kita berjaya membuat jualan sebanyak RM42,000 sehari dan semua produk ini adalah dihasilkan oleh usahawan luar bandar,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan adakah platform e-dagang digunakan sepenuhnya oleh usahawan luar bandar dalam memasarkan produk mereka dan berapa jumlah yang telah mendaftar hingga September 2020 serta apakah usaha yang dibuat untuk mempertingkatkan jumlah pengguna e-dagang.
Mengulas lanjut, Dr Abd Latiff berkata beliau gembira dengan kerjasama diberikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam membantu usahawan luar bandar mempromosi, memasarkan dan menjual produk dihasilkan mereka menerusi penggunaan platform e-dagang.
Berikutan itu, Dr Abd Latiff berkata KPLB akan memanfaatkan sebanyak 191 pusat komuniti desa yang kini menempatkan ‘desa mall’ secara luar talian untuk dimanfaatkan oleh usahawan luar bandar memasarkan produk mereka menggunakan platform e-dagang dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia. – Oleh HAIKA KHAZI