20 NOV: Jepun bersedia untuk mengambil peranan kepemimpinan dalam membangunkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, yang akan menjadi tunggak kepada kemakmuran rantau itu, kata Perdana Menterinya, Yoshihide Suga.
“Jepun akan, bersama-sama dengan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), berhasrat mewujudkan ekonomi dan masyarakat yang mampan terhadap semua jenis krisis, dengan menyaksikan rakyatnya berkembang dan meraih keuntungan daripada pertumbuhan ekonomi,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA, hari ini.
Perdana Menteri Jepun yang baru dipilih itu berkata demikian dalam ucaptama pada hari kedua Dialog CEO APEC 2020 maya di sini hari ini, bersempena dengan mesyuarat maya Sidang Kemuncak APEC.
Sambil menyuarakan seruan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Suga berkata Jepun akan terus mempererat kerjasama dengan ekonomi APEC dalam sektor perniagaan dan memberikan sumbangan yang utuh terhadap usaha forum itu.
Semalam, Muhyiddin dalam ucaptama pada dialog itu, mendesak ekonomi APEC untuk mengakui bahawa perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka sememangnya menghasilkan kemakmuran yang lebih besar di Asia-Pasifik.
APEC adalah kerangka penting yang mempromosikan liberalisasi perdagangan dan pelaburan serta mengukuhkan kesalinghubungan berlandaskan peraturan antarabangsa dalam lingkungan rantau Asia Pasifik, kata Suga dalam ucapannya bertema ‘Re-starting Asia Pasific Growth’.
“Kekuatan APEC datang daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), dan baru-baru ini saya menerima laporan ABAC kepada Pemimpin Ekonomi APEC daripada anggota ABAC Jepun, yang menguatkan lagi pandangan saya bahawa transformasi dan inovasi digital akan menjadi kunci kemakmuran ekonomi di rantau ini,” katanya.
Suga turut menyatakan membuat peraturan untuk ekonomi global yang bebas dan adil sangat penting, di tengah risiko godaan yang kelihatan dalam menghadapi kemerosotan ekonomi global.
Di bawah konsep ‘’Data Free Flow with Trust’, beliau berkata Jepun akan mengetuai penggubalan peraturan antarabangsa berkaitan perdagangan digital, termasuk dalam rundingan e-dagang Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang dipengerusikan bersama oleh Jepun.
Sementara itu, acara Dialog CEO APEC Malaysia 2020 bertemakan “’APEC Re-Imagined: Priorities in the Aftermath of COVID-19,” dikendalikan secara maya dan dihoskan oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).