Oleh: ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
BELANJAWAN 2021 bertemakan ‘Teguh Kita Menang Bersama’ telah selamat dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada hari Jumaat 6 November lepas.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan RM322.5 bilion iaitu RM236.5 bilion untuk belanja pengurusan manakala RM69 bilion untuk belanja pembangunan bagi tahun 2021.
Inilah belanjawan yang mana Yang di-Pertuan Agong mengharapkan agar dapat diluluskan tanpa banyak ‘politiking’ semoga kerja-kerja menangani pandemik COVID-19 akan terlaksana dan usaha memulihkan semula ekonomi negara mendapat tumpuan.
Beberapa minggu ini sedang berlangsung perbahasan sebelum pengundian peringkat dasar dilaksanakan pada 26 November nanti.
Adakah ia akan disokong oleh Ahli-ahli Parlimen atas semangat titah Yang di-Pertuan Agong atau ditolak sehingga mencetuskan krisis keyakinan buat kerajaan Persekutuan, tidaklah dapat dipastikan.
Yang jelas rakyat jelata yang sedang tertekan kesan dari pandemik COVID-19 ini sangat mengharapkan agar fokus dapat diberikan terhadap mengawal pandemik ini selain memulihkan ekonomi negara termasuklah membela nasib jutaan rakyat yang terjejas.
Rakyat sudah bosan dengan kerenah berpolitik berpanjangan orang-orang politik kerana ia tiada manfaat buat mereka sedang mereka berhadapan dengan tekanan hidup yang sangat mencabar.
Sejurus Menteri Kewangan selesai membentangkan cadangan Belanjawan Negara 2021, Ahli-ahli Parlimen kini berpeluang membahaskannya, menyatakan sokongan, membuat teguran, menzahirkan cadangan malah mereka juga diberi hak mengkritik dan menentang.
Pasti kini rakyat mengikuti dengan rapat perkembangan di Parlimen, di sinilah Ahli-ahli Parlimen yang matang dan bertanggungjawab akan mengambil kesempatan menyumbang ke arah memakmurkan negara dengan cadangan dan hujah yang bernas.
Untuk menang bersama wajarlah kita menyarankan perkara-perkara yang positif dan konstruktif agar negara dapat dipandu keluar dari tekanan pandemik ini. Ini tanggungjawab kita bersama.
Giliran pertama membahaskan belanjawan ini diberikan kepada Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ya, orang yang sama yang pada 22 September lalu mengisytiharkan yang kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh kerana beliau ketika itu memiliki sokongan ‘strong, formidable and convincing numbers’ dari Ahli-ahli Parlimen .
Menurut Anwar ketika itu, kerajaan Perikatan Nasional sudah hilang kuasa dan dengan sokongan yang kononnya ada pada beliau, beliau akan ke Istana Negara menuntut agar kerusi Perdana Menteri diserahkan padanya.
Tiba-tiba 9 November lalu tanpa sedikit pun perasaan bersalah, tokoh yang mendakwa dirinya PM ke-9 Malaysia itu, muncul di bangku pembangkang membahas belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan yang kononnya telah beliau tumbangkan pada 22 September.
Mana pergi ‘strong, formidable and convincing numbers’ yang Anwar dakwa beliau miliki itu? Kenapa Anwar masih Ketua Pembangkang dan bukan PM ke-9?
Adakah seluruh Malaysia telah bulat-bulat diperdaya Anwar dan konco-konconya pada 22 September lalu? Sekutunya DAP dan PAN yang sepatutnya membentuk kerajaan baharu dengan beliau sebagai PM turut kelihatan bersahaja selamba bertenggek di bangku pembangkang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Inikah jenis pemimpin yang boleh kita harapkan untuk membela dan memimpin kita, membangunkan negara dan memelihara keselamatan dan kedaulatannya?
Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mengikut laporan menyatakan bahawa tindakan Anwar yang berulang kali mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri telah menyebabkan rakyat khuatir sama ada Ahli Parlimen Port Dickson itu menerima atau tidak kebenaran sebenar.
Tun Dr Mahathir cukup meragui kemampuan dan kelayakan Anwar sehingga dalam laporan yang sama beliau dipetik berkata tidak tahu bagaimana penilaian yang mungkin dibuat oleh rakyat terhadap Anwar bagi menerajui negara.
Menurut Tun: “Jelas dalam krisis kewangan 1997 hingga 1998, Anwar tidak berkeupayaan. Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada beliau mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.”
Dan Tun memang layak memberi ulasan sedemikian kerana ketika itu beliau PM sedangkan Anwar Timbalannya dan juga Menteri Kewangan. Tun kemudiannya telah memecat dan melucutkan jawatan Anwar.
Kerana itu cukup-cukuplah kita dibuai dengan mimpi dan janji-janji kosong Anwar kerana ternyata beliau telah pernah gagal sebelum ini dan kini pun beliau terus gagal dengan memperdayakan rakyat dan dunia bahawa beliau kononnya mempunyai cukup sokongan untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru menggantikan Muhyiddin.
Negara dan dunia kini berhadapan dengan krisis ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19.
Padanlah Anwar duduk di bangku pembangkang dan menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen, jangan lagi cetuskan ketegangan dan suasana cemas dalam negara, sebab nasib dan masa depan negara lebih penting dan utama dari agenda peribadi beliau yang tidak jemu-jemu tergilakan jawatan tertinggi negara itu.
Demi membina negara yang kukuh dalam suasana krisis ini ayuhlah kita semua dari pelbagai latarbelakang politik bangkit dengan teguh bagi menyusun kemenangan bersama.
Ini bukan masanya bertelagah, berporak-peranda dan beradu domba.
Tolak tepi segala yang merugikan rakyat dan negara sebaliknya marilah kita bersama berpadu tenaga. Malaysia perlu diselamatkan dari ancaman COVID-19 ini dan juga diselamatkan dari barisan pimpinan yang turut mahu merosak dan mencederakan kita semua.
Kekal selamat, selamatkan Malaysia untuk kita kembali tenang dan tenteram bebas dari COVID-19 dan bebas dari politik yang curang dan penuh dengan tipu daya.
Penulis ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor.