20 NOV: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tanpa melalui proses pilihan raya.
Usul tersebut dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan diluluskan dengan suara majoriti tanpa kehadiran pembangkang.
Ini apabila tujuh ADUN DAP dan seorang dari PKR bertindak keluar dewan sebagai tanda bantahan.
Seorang lagi ADUN PKR, iaitu Lee Chean Chung dari Semambu tidak hadir pada persidangan hari ini.
Terdahulu, Wan Rosdy mengusulkan pindaan terhadap Perkara 18 Bahagian Kedua undang-undang itu dibuat bagi membolehkan lantikan lima ADUN daripada golongan berkaliber, bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat, khususnya dalam situasi pandemik wabak COVID-19 yang belum pasti kesudahannya.
“Pertambahan ADUN dilantik ini mampu mengurangkan kadar nisbah seorang ADUN dengan jumlah penduduk, kerana kita adalah negeri yang besar. Ini adalah untuk saling melengkapi dan bukan pertindihan kepada perkhidmatan ADUN sedia ada.
“Lantikan ini tidak bersifat politik, sebaliknya berorientasikan rakyat. Kita nampak peluang mereka untuk berkhidmat dan perlu dibawa ke DUN untuk justifikasi kelayakan profesional mereka, sebelum boleh dilantik,” katanya pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.
Pindaan itu, menurut Wan Rosdy menyatakan lantikan ADUN berkenaan hendaklah atas usul tujuh ADUN dan mendapat kelulusan majoriti mudah, selain mereka boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan berhak mengundi.
Bagaimanapun, lima ADUN dilantik itu tidak layak dipilih sebagai Menteri Besar atau menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
“Lantikan ini bukan luar biasa kerana Sabah dan Terengganu sudah melaksanakannya. Pindaan ini telah dibincangkan pada mesyuarat EXCO 22 Julai lalu dan Mesyuarat Pasca EXCO pada 3 Ogos lalu yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.
ADUN Bilut, Lee Chin Chen merupakan yang pertama membantah usul itu kerana mendakwa lantikan itu melanggar prinsip demokrasi, kerana mereka yang tidak mendapat mandat rakyat menerusi pilihan raya boleh berada dalam DUN Pahang.
Bekas Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga ADUN Pelangai berkata, tindakan itu wajar dilakukan bagi membolehkan kerajaan negeri melantik seorang wakil profesional daripada golongan minoriti atau yang tidak menang pilihan raya ke dalam DUN, untuk mengutarakan permasalahan masyarakat mereka.
Persidangan bersambung pada tarikh yang akan ditentukan kelak.