20 NOV: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic dari tempat letak kereta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.28 pagi itu, lelaki berumur 30 tahun terbabit memasuki kawasan IPD Taiping dengan menaiki sebuah kereta jenis Ford Fiesta.
“Lelaki itu kemudian telah membawa lari MPV polis dan meninggalkan keretanya di kawasan parkir IPD Taiping,” katanya ketika dihubungi Bernama dan memaklumkan maklumat terperinci akan diberikan kemudian.
Osman berkata, lelaki itu yang berasal dari Selama berjaya ditahan di sekatan jalan raya di Tol Taiping Utara tidak lama selepas kejadian dan dibawa ke IPD untuk tidakan lanjut.
Bulan lalu, dua lelaki ditahan kerana melarikan MPV polis model Honda Civic 1.8S di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Kenderaan itu kemudian ditemui di Shah Alam.
Salah seorang daripada suspek itu kemudian didakwa dengan beberapa pertuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth.