21 NOV: Sebanyak 1,041 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 53,679 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,854 kes.
Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,039 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.
“Tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 402 kes (38.6 peratus), diikuti Sabah 346 kes (33.2 peratus) dan Negeri Sembilan 121 kes (11.6 peratus).
“Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Teratai iaitu sebanyak 298 kes (74.1 peratus).
“Negeri Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pelbagai saringan COVID-19 yang giat dijalankan di sana manakala Negeri Sembilan disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 21 kes (2.0 peratus) yang dilaporkan pada hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (17 kes), Kluster Tembok (3 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).
Beliau menambah, sehingga kini, terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 332 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,405 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 40,493 kes iaitu 75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN