21 NOV: Jumlah mangsa banjir di Perak semakin bertambah apabila seramai 227 orang daripada 81 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 168 orang daripada 59 keluarga semalam.
Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, setakat pukul 8 pagi tadi, di daerah Larut, Matang dan Selama, seramai 55 orang dari Kampung Sungai Ara masih berlindung di dewan orang ramai kampung itu manakala 34 lagi ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang selepas Kampung Sungai Rentaka dinaiki air.
“Bagi daerah Kerian, 123 orang ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai yang dibuka 11 pagi semalam selepas rumah mereka dilanda banjir berbanding hanya 61 mangsa berada di PPS itu petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa-mangsa banjir tersebut merupakan penduduk Kampung Tebuk Panchur, Kampung Alor Setanggok, Kampung Tanjung Bugis serta Kampung Parit Air Itam 2 dan 3, Kampung Ban Pisang, Kampung Padang Lalang, Kampung Parit Abu Hassan Ban dan Kampung Parit Ali Kalang yang terjejas akibat banjir.
Di daerah Hilir Perak, sebuah PPS yang dibuka di dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap pada malam Khamis lepas menempatkan 15 mangsa dari Kampung Belakang Kilang Kacang berbanding enam mangsa semalam.
Sementara itu, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta, Lahat didibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan PPS itu telah ditutup pada pukul 6 petang semalam berikutan banjir di kawasan terbabit telah pulih.