22 NOV: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu termasuk Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.
Tiga lagi ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Salehuddin Hassan, Mejar Cina David Wong Khoong Soon dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) Avinderjit Singh Harjit Singh.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Johor, pengurniaan darjah yang membawa gelaran ‘Datuk’ berkenaan berlangsung di Balai Mengadap, Istana Pasir Pelangi, pagi tadi bersempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-62.
Turut berangkat Tunku Mahkota, Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.
Wong, berketurunan Wong Ah Fook, yang dilantik sebagai Mejar Cina atas perkenan Sultan Ibrahim pada September lalu, menjalankan tugas dan bekerjasama dengan YSIJ dalam menyelaras, mengatur dan melaksana pengagihan kurniaan barangan keperluan makanan kepada penduduk negeri itu.
Sementara itu, Sultan Ibrahim berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berkuat kuasa, hari ini.
Watikah pemasyhuran pengisytiharan MBPG diserahkan baginda kepada Hasni di Istana Pasir Pelangi.