22 NOV: Tiga kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Teratai di Selangor dengan 504 kes diikuti Kluster Tembok (42 kes) dan Kluster Kaya (20 kes).
Keseluruhannya sebanyak 54 kluster aktif melaporkan kes baru COVID-19 termasuk tiga tiga kluster baru yang dikesan di Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta utara Perak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Pengkalan Barat yang melibatkan daerah Barat Daya di Pulau Pinang serta daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di negeri Perak.
Katanya, kes indeks dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 10 November dan sehingga 22 November, sejumlah 251 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
“Kedua ialah Kluster Bakti melibatkan sebuah penjara dalam daerah Seremban. Kes indeks merupakan seorang banduan yang dilaporkan positif COVID-19 pada 22 November melalui saringan kemasukan tahanan ke penjara.
“Sehingga 22 November 2020, sejumlah 481 individu telah disaring, di mana 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Sementara itu, kluster ketiga ialah Kluster Bayam Indah melibatkan daerah Kulim dan Kuala Muda di negeri Kedah.
“Kes indeks dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 November 2020.
“Sehingga 22 November 2020, sejumlah 70 individu telah disaring, di mana 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” ujarnya.
Sementara itu, empat kluster diisytihar tamat hari ini iaitu Kluster Kasih, Kluster Baiduri, Kluster Long dan Kluster Bestari.
“Ini menjadikan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID