23 NOV: Portal yang didakwa memutarbelitkan kenyataan Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika membahaskan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu mungkin tidak terlepas daripada berdepan tindakan undang-undang.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN BBC) itu berkata, peguamnya telah dirujuk untuk menilai kerosakan yang dilakukan oleh portal terbabit yang dikatakan sengaja menukar perkataan ‘bekas’ kepada ‘Pekan’.
“Perkataan ‘bekas’ yang ditukar kepada ‘Pekan’ itu adalah sesuatu adalah sesuatu yang disengajakan.
“Mereka minta maaf, anggap boleh selesaikan masalah. Kita lihat kerosakan yang dibuat dan pertimbangkannya kelak,” katanya dalam sidang media secara langsung melalui Facebook, hari ini.
Beliau turut kesal dengan pihak-pihak tertentu yang mengecamnya tanpa usul periksa setelah membaca laporan portal berkenaan.
Shahidan memberitahu, mereka juga telah meminta maaf kepadanya kerana merujuk kepada laporan yang salah.
“Dah pukul orang separuh mati, padahal di peringkat awal tak perlu pukul pun, semua kerana tersalah tafsir,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Shahidan meminta semua pihak khususnya pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak mempersoalkan kedudukannya sebagai Pengerusi PN BBC memandangkan beliau ialah Ahli Parlimen BN.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penubuhan kerajaan PN pada mulanya adalah dasar persefahaman yang dimeterai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Walaupun PN kini sebagai gabungan parti tidak disertai oleh UMNO, kita terikat dengan perjanjian awal.
“Kalau saya nak berhenti Pengerusi PN BBC, bermakna 20 orang menteri UMNO kena berhentilah,” katanya.
Shahidan menambah, pandangan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium tidak sepatutnya ditafsir sebagai Barisan Nasional (BN) tidak menyokong kerajaan PN.
Beliau memberitahu, semua Ahli Parlimen BN termasuk Najib dan Ahmad Zahid sentiasa hadir memberi sokongan terhadap kerajaan PN dalam undian di Dewan Rakyat sebelum ini.
“Sekarang ini mereka bagi pandangan terutamanya dalam soal KWSP dan moratorium di mana saya telah sebut bahawa kerajaan telah mendengar,” jelasnya.
Berhubung Belanjawan 2021, Shahidan berharap semua Ahli Parlimen menyokongnya agar usaha membantu rakyat yang terjejas dapat berjalan lancar.
“Kita ni wakil rakyat. Kita buat apa pun harus melibatkan rakyat,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN