23 NOV: Sebanyak 312 projek membabitkan nilai pelaburan RM22.9 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Oktober 2020 menerusi platform digital lesen pengilangan elektronik (e-ML).
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kelulusan di bawah Lesen Pengilang secara ‘fast track’ atau pantas itu juga adalah sebahagian usaha kementeriannya untuk menarik pelaburan baharu dalam industri berimpak tinggi dan berteraskan teknologi.
Ahli Parlimen Bersatu Gombak itu berkata, Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) juga telah ditubuhkan yang memusatkan kesemua penilaian dan kelulusan pakej pelaburan berkaitan insentif cukai dan geran di peringkat nasional.
“Bagi tempoh Mac hingga September 2020, sebanyak 1,054 projek bernilai RM66.9 bilion telah diluluskan dan dijangka menjana sejumlah 44,354 peluang pekerjaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Azmin berkata MITI juga menubuhkan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memudah cara urusan dengan pelbagai agensi berkaitan bagi menyegerakan pelaksanaan projek pelaburan di negara ini mulai 1 Julai, 2020.
Malah, Azmin berkata sehingga Oktober 2020 sebanyak 185 projek atau 46 peratus daripada 398 projek pengilangan yang diuruskan oleh PACU telah mula dilaksanakan.
Menurutnya, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 September 2020 juga bersetuju mengenai penubuhan pusat sehenti (OSC) bagi memudah cara urusan kemasukan pelawat perniagaan.
“Ini merangkumi tiga komponen utama iaitu jawatankuasa OSC dianggotai oleh MITI, MIDA, Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan untuk menilai dan mempertimbangkan permohonan kemasukan pelawat perniagaan dalam tempoh tiga hari bekerja.
“Komponen kedua ialah Pusat Pelawat Perniagaan (BTC) yang menyediakan perkhidmatan pegawai pengiring dan makmal ujian Covid-19 untuk kemudahan kemasukan pelawat perniagaan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, komponen ketiga adalah laman sesawang khas maklumat dan khidmat nasihat untuk memudahkan kemasukan pelawat perniagaan tersebut.
“Bagi tempoh setakat 20 November 2020, Jawatankuasa OSC telah menilai sebanyak 2,243 permohonan pelawat perniagaan jangka panjang. Sejumlah 2,146 permohonan telah diluluskan manakala 97 tidak dipertimbangkan atas pelbagai faktor,” katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,225 atau 55 peratus permohonan bagi kategori pas lawatan profesional manakala sejumlah 1,018 (45 peratus) di bawah kategori pas penggajian.
Bagi permohonan pelawat perniagaan jangka pendek iaitu selama 14 hari dan ke bawah di negara ini, MIDA sedang melaksanakan penambahbaikan Sistem MyEntry bersama Jabatan Imigresen dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Bhd.
“Kategori Pelawat Perniagaan Jangka Pendek merangkumi pelabur berpotensi, pelabur sedia ada (pemilik perniagaan/ahli Lembaga Pengarah tanpa pas penggajian), pelanggan perniagaan dan pakar teknikal bagi tujuan kes kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin memberitahu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenal pasti 97 projek berpotensi dipindah dan dikembangkan di Malaysia sebagai pelaburan tambahan.
Beliau berkata, keadaan itu dengan secara langsung akan memanfaatkan ekonomi negara selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Mohamed Azmin memberitahu, sebanyak 37 daripada projek itu adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga September lalu bernilai RM9.2 bilion.
“Kelulusan itu merangkumi projek dalam sektor elektrikal dan elektronik, jentera, logam, logistik, kimia dan bahan termaju serta industri berasaskan sumber kayu dan kertas.
“Syarikat ini berpangkalan di China, Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea, Singapura dan Switzerland,” katanya.