23 NOV: Sebanyak 1,884 kes baharu baharu COVID-19 dicatatkan hari ini, jumlah yang tertinggi dicatatkan sejak pandemik tersebut mula melanda Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1882 kes merupakan kes tempatan manakala dua lagi kes import.
Menurut beliau, Selangor mempunyai jumlah kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,203 kes atau 63.9 peratus diikuti Sabah (289 kes atau 15.3 kes) dan Kuala Lumpur (166 kes atau 10.4 peratus).
“Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya kluster berkaitan tempat kerja iaitu Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 1,067 kes (76.2 peratus) dan Kluster Damanlela sebanyak 101 kes (7.2 peratus).
“Negeri Sabah pula masih melaporkan jumlah kes yang agak tinggi walaupun telah berkurang berbanding kebelakangan ini iaitu sebanyak 289 kes. Dari jumlah tersebut, 164 kes (56.7 peratus) adalah hasil saringan kontak rapat,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.
Secara keseluruhan, Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 56,659 kes positif COVID-19 dicatatkan di negara ini manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu adalah 13,842 kes.
Beliau menambah, sebanyak 33 kes (1.8 peratus) yang dilaporkan hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Bakti (12 kes), Kluster GK Tawau (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (7 kes), Kluster Penjara Sandakan (3 kes), Kluster PTS Tawau (1 kes) dan Kluster Tembok (1 kes).
Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 115 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 48 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 337 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Bilangan kes sembuh COVID-19 hari ini adalah sebanyak 883 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 42,480 kes (75.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN