23 NOV: Perlembagaan Persekutuan mahupun Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak memperuntukkan tatacara berhubung usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Sebaliknya, Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa prerogatif berkenaan perkara ini hendaklah memutuskan perkara itu melalui cara sendiri untuk membuat penentuan.
Antaranya Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan apa-apa cara yang sesuai untuk memutuskan individu yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ini, termasuklah dengan menerima apa-apa dokumen yang dikemukakan mahupun dengan mendapatkan kenyataan lisan atau bertulis daripada setiap ahli Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan dalam jawapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini menjelaskan, perkara usul undi tidak percaya tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun katanya, Fasal (4) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyatakan yang berikut:
“43. (4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”.
Takiyuddin berkata, walaupun Fasal (4) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai kedudukan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Fasal tersebut tidak memperuntukkan tatacara untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Bagaimanapun katanya, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri boleh dibawa ke Dewan Rakyat sekiranya teratur dan mematuhi Peraturan Mesyuarat 26(1) dan 27(3) berhubungan dengan kehendak mengenai pemberitahu usul.
“ Usul undi tidak percaya juga tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15 dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai susunan Aturan Urusan Mesyuarat dan peruntukan bagi mendahulukan Urusan Kerajaan.
“Namun, Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menentukan bila perbahasan usul boleh dibuat dengan mengambil kira urusan Kerajaan,” jelas Takiyuddin lagi.
Sehubungan itu, urusan-urusan lain termasuk usul persendirian yang turut terdiri daripada usul tidak percaya hanya akan dibahaskan selepas semua urusan Kerajaan selesai.
Sebanyak 25 usul tidak percaya telah diterima dan dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas.
Mengenai usul undi percaya teradap Perdana Menteri pula, Takiyuddin berkata, usul ini juga termasuk sebagai usul persendiriaan dan juuga tertakluk kepada Peraturan 15 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, dimana urusan Kerajaan hendaklah didahulukan dari urusan-urusan lain.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassin dan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Mohamad Zawawi Salleh telah mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Tassin ke Dewan Rakyat.