24 NOV: Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo merupakan komitmen kerajaan dalam memberi keselesaan pengguna yang merupakan sebahagian daripada pembangunan sosioekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek ini dapat menjamin dan memastikan peluang pekerjaan penduduk tempatan khususnya di dalam keadaan ekonomi yang mencabar akibat penularan COVID-19.
“Ini juga secara langsung membuktikan komitmen kerajaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak supaya mereka menikmati infrastruktur yang lebih baik pada masa akan datang.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mempercepatkan pelaksanaan projek Pan Borneo dengan melantik konsultan projek untuk memantau JKR Sarawak dan Sabah.
“Walau bagaimanapun, pelantikan ini masih di peringkat rundingan dan menunggu keputusan mutamad dari Kementerian Kewangan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) kementeriannya kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, bagi perkembangan projek di pantai timur semenanjung, Fadillah memberitahu pihaknya kini memfokuskan untuk menyiapkan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK) dan Central Spine Road (CSR) yang telah dimulakan secara berperingkat yang dibina berdasarkan aspek keselamatan, kesesakan lalu lintas dan kesinambungan jajaran.
“Bagi CSR dan KBKK akan dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 yang tertakluk pada peruntukan yang diterima dan diluluskan. Sehingga kini projek CSR sejauh 60.7 kilometer telah disiapkan dan dibuka kepada pengguna.
“Jalan raya itu terbukti dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah memberitahu KKR juga komited dalam memastikan semua jalan raya diselenggara secara optimum yang melibatkan penyelenggaraan guna sama persekutuan, cerun jalan persekutuan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan serta penyelenggaran jalan persekutuan berkala.
Atas dasar itu, menurut beliau, ramai kontraktor kecil mendapat nikmat ini yang sedikit sebanyak membantu menampung pendapatan mereka khsusunya ketika pandemik COVID-19.
“Berdasarkan laporan 26 Ogos 2020, RM113.12 juta agihan kontraktor kepada G1 bagi setiap syarikat konsensi jalan semenanjung telah dibuat manakala syarikat konsensi bagi jalan raya persekutuan Sabah, Sarawak dan Labuan berdasarkan laporan Mei 2020 berjumlah RM13.05 juta agihan kontraktor G1.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan RM126 juta manakala bagi kerja-kerja pakej rangsangan ekonomi, kerajaan telah menetapkan pemilihan kontraktor di kalangan gred G1 hingga G4 dengan keutamaan diberikan kepada kontraktor bumiputera berdasarkan kaedah projek kerjaan 2020 yang berkuat kuasa pada 23 April 2020,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH