24 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pengembara dari Sabah hanya perlu menjalani swab ujian pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke negeri lain di Malaysia mulai esok.
Sekiranya positif dalam ujian pengesanan Covid-19 atau bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka yang positif akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.
“Bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan COVID-19 dan diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi
perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bermula 27 September lalu, KKM telah meminta semua pengembara yang tiba dari Sabah menjalani saringan gejala, ujian pengesanan Covid-19 serta menggunakan aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 27 September lalu.
Prosedur saringan ini dilaksanakan sebagai satu aktiviti survelan bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah melawat negeri Sabah.
Tindakan itu susulan daripada peningkatan kes Covid-19 yang ketara di kebanyakan daerah di negeri tersebut, selain peningkatan kes positif Covid-19 di negeri-negeri lain di Malaysia yang berkait dengan sejarah melawat Sabah.
Adham menambah, merujuk kepada laporan mingguan kes positif Covid-19 pada minggu ke-43 tahun 2020, jumlah kes baharu dilaporkan di Sabah adalah 4,548 berbanding jumlah kes mingguan di Lembah Kelang (Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya) yang berjumlah 821 kes positif Covid-19.
“Namun begitu, pada minggu ke-47, jumlah kes baharu di Sabah adalah 3,073, penurunan sebanyak 32.4%, berbanding Lembah Kelang sebanyak 3041 kes iaitu peningkatan sebanyak 270 peratus.
“Mengambil kira situasi semasa ini, dan setelah satu bulan setengah pelaksanaannya, semakan semula ke atas prosedur saringan COVID-19 dan prosedur kuarantin wajib bagi mereka yang tiba dari Sabah di Pintu Masuk Negara telah dijalankan oleh KKM. Perkara ini juga telah dibincangkan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang pada 23 November 2020.”katanya.