24 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan waktu bertemu dan mendengar luahan hati sekumpulan pemandu serta riders Grab mengenai permasalahan golongan itu tengah hari tadi di ibu negara.
Antara disuarakan kata Muhyiddin, peraturan LPS dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau p-hailing yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) sedikit masa lagi.
Turut dibangkitkan katanya, isu pemandu perkhidmatan Grab orang kurang upaya (OKU) yang meminta Kerajaan memberikan sokongan kepada pemandu OKU dengan mempermudahkan syarat pengambilan lesen pemandu PSV yang dikatakan amat ketat dan membolehkan mereka bekerja seperti pemandu e-hailing lain.
Berikutan itu, Perdana Menteri memberi jaminan yang beliau akan meminta MOT meneliti semula semua perkara ini dengan seberapa segera.
Kata Muhyiddin, begitu juga dengan masalah lain yang disuarakan mereka seperti kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan dan kekangan bantuan kerajaan seperti subsidi minyak, kerana bekerja sebagai pemandu dan penghantar Grab yang mana perkara ini akan beliau kaji dan bincang dengan kementerian berkaitan.
Sementara itu, Muhyiddin yang berkongsi pertemuan berkenaan di Facebook beliau menyatakan penghargaannya terhadap sumbangan besar para pemandu dan riders dalam menjana ekonomi negara.
“Mereka bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri bahkan turut membantu memperluaskan rantaian ekonomi para peniaga lain.
“Saya ingin berpesan kepada semua pemandu/rider, agar dalam pada gigih mencari rezeki, jangan sesekali lupa menjaga keselamatan diri.
“Apa juga cabaran dan dugaan yang datang jangan putus asa atau cepat mengalah. Sematkan semangat ini dalam diri. Semoga Allah memberkati usaha anda semua dan melindungi kita daripada sebarang musibah,” katanya.
Muhyiddin berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, sehinggalah kini di fasa PKP Bersyarat (PKPB), banyak yang beliau dengar tentang peranan pemandu dan riders e-hailing ini sebagai ‘frontliners’ tidak didendang.
Katanya, beliau merasa bangga dengan semangat dan dedikasi mereka dan apa yang penting bagi kumpulan it ialah mencari rezeki yang halal untuk keluarga demi kelangsungan hidup terutama sejak wabak COVID-19 melanda negara.
“Mendengar luahan hati mereka, saya dapat tahu rata-ratanya menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik dan stabil. Namun tidak mahu berpeluk tubuh, mereka menjadi pemandu/rider Grab, sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung kehidupan bersama keluarga.
“Ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih lapan jam sehari. Ramai juga yang telah menjadi pemandu atau riders sepenuh masa setelah hilang pekerjaan tetap.
“Sebelum COVID-19, mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke RM5,000 sebulan namun sekarang, mereka hanya memperoleh sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan atau kurang daripada itu bergantung kepada kekerapan perjalanan yang dibuat.
Tambah Perdana Menteri, sekarang ini jika mereka mendapat RM100 sehari pun sudah mampu tersenyum tetapi jika mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar.
“Daripada saya tidak buat apa, lebih baik bekerja sebagai Grab driver. Sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan, dapatlah sedikit sebanyak membantu keluarga.” Itulah kata-kata mereka,” jelasnya.
Kata Muhyiddin, dalam kesempatan itu, beliau juga berpeluang bertemu dengan pasangan suami isteri OKU, Siti Fatimah dan suaminya Nijaz Nathan Vellasamy.
Menurutnya, beliau kagum dengan mereka kerana terus gigih menjadi pemandu OKU tanpa menjadikan kekurangan mereka sebagai penghalang untuk mencari rezeki.
“Saya difahamkan terdapat lebih 200 pemandu OKU yang beroperasi dalam perkhidmatan Grab pada waktu ini,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID